Rabu, 5 November 2008

Tokoh Ulama'



ULAMA' KELANTAN





TOK KENALI KELANTAN
( Muhammad Yusof bin Ahmad . 1868 - 1933 )
Nama Tok Kenali Tidak asing lagi di dengan dunia pengajian Islam yang menggunakan sistem pondok di Malaysia.
Tok Kenali dikenali seora ng Ulama' bertaraf wali. Tok Kenali pernah menjadi khadam kepada Syeikh Ahmad Al-Fathani. Pernah pada satu masa, Sewaktu Syeikh Ahmad al-Fathani melemparkan pengujian atau pertanyaan kepada semua pelajar, Tok Kenali seperti orang tidur-tidur saja. Semua pelajar terdiam, tidak seorang pun berkemampuan menjawab masalah yang dikemukakan oleh Syeikh Ahmad al-Fathani. Tiba-tiba Syeikh Ahmad al-Fathani menyergah pemuda Kelantan yang sedang tidur. Pemuda itu terkejut. Syeikh Ahmad al-Fathani menyuruhnya supaya datang ke hadapan duduk bersama beliau. Disuruhnya pemuda Ke lantan itu menjawab masalah ujian yang dikemukakan lalu semuanya dijawab dengan sejelas-jelasnya.




Dari kiri : Tok Kenali , Hj Yaakub Gajah Mati , Hj Malek Sungai Pinang, Hj Ismail
Haji Ali Pulau Pisang , Tok Solehor , Haji Abdullah Tahir , Haji Daud Bukit Abal
Haji Awang Lambor , Mufti Haji Wan Musa , Haji Saad Kangkong , Sheikh Osman
jalaludin Al-Kelantani.


KAITAN WALI SONGO DENGAN PARA ULAMA' KELANTAN - PATANI


SYARIF HIDAYATULLAH @ SUNAN GUNUNG JATI
Darah keturunan Kerabat Kelantan-Patani yang menurunkan keturunan Wali Songo di Jawa ialah Syariff Hidayatullah atau Sunan Gunung Jati . Misi mengislamkan di Pulau Jawa ialah kerabat-kerabat ulamak Kelantan dan Patani. Kerabat ulamak Kelantan dan Patanilah yang memegang amanah besar ini untuk mengislamkan Jawa dan ke seluruh alam Melayu. Kita harus bersyukur dan terhutang budi pada Kerabat Ulamak-Ulamak dari Kelantan dan Patani. Pada masa peperangan dasyat dengan Siam dalam tahun 1600-an, 4 buah negeri Tanah Melayu telah bergabung iaitu gabungan Patani-Kelantan-Terengganu dan Kedah daripada pencerobohan Siam. Pada masa peperangan dasyat ulamak-ulamak dari 4 buah negeri inilah banyak memainkan peranan dalam mempertahankan agama dan bangsa. Ramai hulubalang-hulubalang Melayu adalah terdiri daripada ulamak dan keturunan ulamak.

Kelantan-Patani adalah pusat strategik untuk menyebarkan Agama Islam ke seluruh Nusantara. Kelantan dan Patani telah melahirkan banyak para tok wali. Ramai ulama yang berasal dari sini:

1. Syeikh Haji Wan Mustafa (Tok Bendang Daya 1)
2. Syeikh Muhammad Zain Al-Fathani
3. Syeikh Ahmad Al-Fathani
4. Syeikh Daud Al-Fathani
5. Tuan Tabal - Penyebar Thariqat Ahmadiyah pertama di Nusantara
6. Tok Wan Din al-Fathani - Penyalin karya Syeikh Daud al-Fathani
7. Abdul Qadir al-Fathani (Tok Bendang Daya II)
8. Syeikh Abdul Lathif al-Fathani - Sebar Islam dengan seni lagu al-Quran
9. Syeikh Wan Ali Kutan - Guru para ulama Melayu
10. Ya`qub al-Kalantani- Penyebar Islam di Brunei dan Sabah
11.Tok Kelaba al-Fathani - Menyalin pelbagai manuskrip Melayu
12.Tok Selehor Kelantani - Berdakwah lewat puisi
13.Syeikh Muhammad Nur Al-Fathani- Pembesar dua pemerintah Mekah
14. Tok Bermin
15. Syeikh Abdul Mubin Al-Jarimi Al-Fatani - Guru Sultan Pahang
16. Ismail al-Kalantani - Mufti Kerajaan Pontianak (Ulamak Kelantan Ke kerajaan Pontianak,Kalimantan Indonesia).
17. Wan Ismail Al-Jambui Al-Fathani — Kadi Jambu, Patani
18. Tengku Muhammad al-Fathani
19. Syeikh Jalaluddin al-Kalatani - Perintis pengajian pondok Seberang Perai
20. Nik Mahmud - Perdana Menteri Paduka Raja Kelantan(Penulis Kitab Pati Rahsia)
21. Tuan Minal al-Fathani - Karangannya rujukan ulama Melayu
22. Wan Fatimah al-Kalantani - Wanita Melayu alim di Mekah
23. Syeikh Nik Mat - Hakim Mahkamah Syarie di Mekah
24. Kiyai Muhammad Shalih al-Fathani
25. Syeikh Muhammad al-Fathani - Ulama pembesar Turki
26. Tok Pulai Chondong ulama sufi berwibawa Kelantan
27. Abdul Rahman Al-Kalantani - Mufti terakhir kerajaan Mempawah (Ulamak Kelantan menyebarkan Islam di Kalimantan Barat, Indonesia).
28. Muhammad Yusof Ahmad (Tok Kenali)



ULAMA' - UMARA' TERENGGANU


SULTAN ZAINAL ABIDIN III

SULTAN Zainal Abidin III, Sultan Terengganu, d iakui oleh beberapa orang ulama Mekah dan para cerdik cendekiawan bahawa baginda adalah di antara Sultan Melayu yang paling alim dan ahlil ilmi pada zamannya. Dua ulama yang berasal dari dunia Melayu di Mekah yang paling dekat dan menjadi rujukan pelbagai masalah baginda, ialah Syeikh Muhammad bin Ismail al-Fathani (Syeikh Nik Mat Kecik) dan Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani.

Sesuatu permasalahan yang sukar diselesaikan oleh Sultan Zainal Abidin III akan sentiasa dirujuk kepada kedua-dua ulama di Mekah itu. Kadang-kadang dengan cara mengirim surat atau adakalanya mengirim utusan yang khusus. Sewaktu Syeikh Ahmad al-Fathani datang ke Kota Bharu, Kelantan, Sultan Zainal Abidin III berserta beberapa pembesar Terengganu datang menjemput beliau supaya sudi mengunjungi Kuala Terengganu. Syeikh Ahmad al-Fathani telah menggubah puisi 33 bait dalam bahasa Arab yang bercorak memuji Sultan Zainal Abidin III yang diiringi dengan pengharapan agar baginda memperkukuh kedudukan agama Islam, bahasa dan bangsa Melayu, diiringi pula sejarah bangsa Melayu yang lengkap. Sultan Zainal Abidin III yang dibicarakan ini lahir pada 1281 H/1865 M dan mangkat hari Selasa, 22 Safar 1337 H/26 November 1918 M.








TOKKU PALOH
( Sayed Abdul Rahman bin Ahmad Al-Idrus )
Tokku paloh adalah seorang Ulama' Kerohanian yang berkecimpung dalam bidang pentadbiran dan diplomatik Negeri Terengganu.
Dengan ketegasan dan kepintaranya dalam hal ehwal diplomatik,Tokku Paloh sering diberi peluang mewakili sultan dalam perundingan dengan Britis h hingga kerajaan Inggeris gagal menawan Terengganu. Dalam suatu kisah,beliau dilaporkan berkata ‘Kalau untuk mencampuri urusan pentadbiran kami,saya tolak walau atas alasan apa sekali pun tetapi kalau hendak tanah, silakan. Isilah kedalam kapal tuan sebanyak mana pihak British mahu…..ambillah tanah.’ Itu adalah antara jawapan Tokku Paloh kepada wakil British ketika perundi ngan antara British dengan kerajaan Terengganu yang diwakilinya. Jawapan berbentuk sindiran itu diluahkan dengan tenang tetapi nyata menyakitkan hati wakil British berkenaan. Mereka lantas bangun untuk beredar tetapi dengan kuasa Allah punggung mereka tidak semena-mena terlekat di kerusi.


Haji Mat Shafie Losong
Ahmad Shafie bin Haji Muhammad Amin
(1862 - 1945) atau lebih dikenali sebagai Haji Mat Shafie Losong merupakan salah seorang tokoh ulama' di nusantara yang terkemuka.
Ahmad Shafie bin Haji Muhammad Amin atau nama penuhnya Haji Ahmad Shafie bin Haji Muhammad Amin merupakan salah seorang daripada ulamak Melayu yang bertanggung jawab mengembangkan syiar Islam di nusantara.



Makam Tokku Pulau Manis

Syeikh Abdul Malik atau lebih dikenali 'Tokku Pulau Manis' dilahirkan di Kampung Pauh, Hulu Terengganu pada tahun 1060an/1650an, berketurunan Sharif Mohammad, yang berasal dari Baghdad. Menerima pendidikan agama diperingkat awal dari kaum keluarganya sendiri.

Syeikh Abdul Malik kemudiannya belajar di Aceh yang digelar “Serambi Mekah. Adalah dipercayai beliau telah menerima pendidikan secara langsung dari ulama besar Acheh, Syeikh Abdul Rauf Singkel (1030-1050/1620-1693) yang juga seorang tokoh yang berusaha membawa kepada pengukuhan terhadap aliran al-Sunnah wal Jamaah di alam Melayu. Beliau telah menyalin kitab Tafsir Baydawi yang dikarang dalam Bahasa Melayu oleh Syeikh Abdul Rauf Singkel. Selanjutnya beliau menyambung pengajian di Mekah sekitar tahun 1680, ketika beliau dipercayai berumur 30 tahun.

Peranan Syeikh Abdul Malik sebagai pengajar di Mekah menyerupai penglibatan sebahagian penting ulama-ulama lain dari seluruh dunia yang menjadikan Tanah Suci sebagai pusat pendidikan. Pelajar-pelajar yang menjadi tumpuan beliau adalah mereka yang datang dari Tanah Jawi. Kedudukan Syeikh Abdul Malik di sini mempunyai persamaan dengan kedudukan ulama-ulama Jawi yang lain seperti Syeikh Daud bin Abdullah Fatani, Syeikh Abdul Samad Palimbang, Syeikh Mohamad Nawawi al-Bentani dan Syeikh Mohamad Khatib bi Abdul Latif Minangkabau. Sebagai guru yang amat meminati Tasawuf beraliran etika Ubudiyah yang diperolehi oleh Imam al-Ghazali, beliau juga memilih mengajar dengan menggunakan karangan-karangan yang menjadikan hasil karya Hujjatul Islam itu. Kitab-kitab yang dimaksudkan itu termasuklah Ihya Ulumuddin. Matan Hikam Ibnu Ata’ul-Lah yang dianggap sebagai lanjutan dari pendekatan etika Ubudiyyah al-Imam al-Ghazali juga ternyata mendapat perhatian istimewa dari Syeikh Abdul Malik. Minat Syeikh Abdul Malik terhadap Matan Hikam diperkukuhkan lagi oleh permintaan sahabat-sahabatnya seperti terjelas dalam Hikam melayunya :

(Dan) sanya telah meminta akan daku setengah saudaraku yang salik bahawa menterjemakan aku akan dia dengan bahasa Jawi supaya memberi manfaat dengan dia segala orang yang mubtadi, maka ku perkenankan atas yang demikina itu dengan sekira-kira yang difahamkan Allah Taala akan daku (dan) adalah au memanjangkan sedikit perkataannya kerana aku memasukkan perkataan sharahnya dengan sekadar kifayah bagi orang mubtadi mengetahui dia……?.

Karangan di atas menunjukkan bahawa sahabat-sahabatnya di Mekah telah memintanya mengarang, sesuatu yang mencerminkan martabat kedudukannya di kalangan kawan-kawannya. Dengan penulisan tersebut Hikam Melayu merupakan sebuah kitab Tasawuf terbesar dan terawal menurut aliran ahli Sunnah wal-Jamaah di dalam Bahasa Melayu.

Syeikh Abdul Malik menjadi peneraju program pendidikan agama di Terengganu, sama ada selaku ulama istana atau sebagai guru kepada orang ramai. Di istana, Syeikh Abdul Malik berdampingan bukan sahaja dengan Sultan Zainal Abidin I tetapi juga dengan pembesar-pembesar yang turut berguru dengannya. Di dalam upacara keagamaan, beliau diberi peranan mengetuai majlis-majlis tersebut. Dalam penglibatannya sebagai Syeikh al-Ulama dan Mufti beliau mengeluar fatwa-fatwa berhubung dengan pegangan keIslaman dan hukum hakam. Dengan berpandukan pengalaman pengajian di Jawa, Aceh dan Mekah, beliau telah menjadikan Pulau Manis sebagai tempat pengajaran dan ibadat yang didatangi oleh pelajar-pelajar dari jauh dan dekat. Adapun kitab beliau yang kedua terbesar selepas Hikam Melayu, iaitu Kitab Kifayah merupakan sebuah karya yang merangkumi Usuluddin dan Fekah.

Syeikh Abdul Malik atau Tok Pulau Manis meninggal dalam lingkungan usia 86 tahun iaitu pada tahun 1149H bersamaan 1736 sebagaimana yang terakam pada makamnya.



Tok Sheikh Duyong

Nama sebenarnya ialah Syeikh Wan Abdullah bin Muhammad Amin bin Ya’qub al-Fathani. Lahir di Cabang Tiga, Patani, tahun 1216 H/1802 M, Allahyarham wafat pada hari Khamis, pukul 4.00 petang, 12 Jamadilakhir 1306 H/24 Februari 1889 M.

Syeikh Wan Abdullah bin Muhammad Amin digelar ‘Tok Syeikh Duyung’ kemungkinan kemudian daripada Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim al-Fathani. Ketiga-tiga ulama yang saya sebutkan iaitu Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim Bukit Bayas dan Syeikh Wan Abdullah bin Muhammad Amin Duyung adalah masih dalam satu lingkungan keluarga yang dekat.

Nama ayahnya ialah Syeikh Wan Muhammad Amin al-Fathani yang digelar dengan ‘Tok Syeikh Qadhi al-Fathani’. Beliau pula ialah anak Wan Ya’qub al-Fathani. Hanya sampai kepada Wan Ya’qub saja nasab dari sebelah ayahnya dapat dikesan. Ibu Tok Syeikh Qadhi (Syeikh Wan Muhammad Amin) bernama Wan Salamah binti Tok Wan Deraud bin Cik Wan Derahim yang kahwin dengan Tok Wan Nik. Ibu Tok Wan Nik ini bernama Wan Dewi binti Tok Kaya Rakna Diraja bin Syeikh Faqih Ali al-Malabari.

Ibu Tok Syeikh Duyung (Syeikh Wan Abdullah) bernama Wan Aminah binti Tok Wan Drahmad bin Tok Wan Derahman bin Tok Kaya Pandak. Tok Kaya Pandak ini nama sebenarnya ialah Wan Ismail bin Nakhoda Wan Kang daripada perkahwinan dengan puteri Laksamana Johor.

Nakhoda Wan Kang yang dimaksudkan di sini adalah nama gelar pada Syeikh Faqih Ali al-Malabari. Ada riwayat menyebut bahawa beliau ini adalah seorang Arab keturunan Nabi Muhammad s.a.w. yang berhijrah ke Malabar (India) dan selanjutnya berhijrah ke dunia Melayu.



Tokku Melaka

Ayah Tok Ku Melaka bernama Saiyid Muhammad digelar dengan Tok Ku Tuan Pahang. Ayahnya bernama Saiyid Husein. Ayahnya bernama Saiyid Mushthafa, bererti moyang kepada Tok Ku Melaka yang diriwayatkan ini mempunyai adik-beradik tiga orang iaitu Saiyid Mushthafa bin Syaikh (moyang Tok Ku Melaka), Saiyid Ahmad bin Syaikh dan Saiyid Zainal Abidin bin Syaikh. Saiyid Ahmad bin Syaikh mempunyai anak bernama Saiyid Muhammad yang digelar dengan nama Tok Ku Makam Lama. Kuburnya di Cabang Tiga, Kuala Terengganu (tarikh 1209 H/1794 M). Saiyid Zainal Abidin bin Syaikh mempunyai anak bernama Saiyid Muhammad yang digelar dengan Tok Ku Tuan Besar. Tok Ku Makam Lama dan Tok Ku Tuan Besar bererti datuk saudara kepada Tok Ku Melaka. Saiyid Muhammad (Tok Ku Tuan Besar) memperoleh predikat sebagai ulama adalah berkat belajar kepada Syeikh Abdul Qadir Bukit Bayas. Tok Ku Tuan Besar adalah sebagai Ketua Ulama dan Orang-Orang Arab di Terengganu. Anak beliau yang terkenal menjadi ulama ialah Saiyid Abdur Rahman yang lebih dikenal dengan gelar Tok Ku Paloh (lahir 1233 H/1818 M, wafat Zulhijjah 1335 H/September 1917 M). Bererti beliau ini masih ada pertalian kekeluargaan dekat dengan Tok Ku Melaka. Tok Ku Paloh pula kahwin dengan anak Tok Ku Melaka yang bernama Tuan Nik.


Di atas telah disinggung bahawa Saiyid Muhammad (Tok Ku Tuan Besar) adalah murid kepada Syeikh 'Abdul Qadir Bukit Bayas. Demikian juga akan halnya Tok Ku Melaka ini adalah bersama-sama dengan datuk saudaranya itu belajar kepada ulama yang berhijrah dari Patani di Terengganu itu. Sebelum beliau memperdalam ilmu kepada Syeikh Abdul Qadir Bukit Bayas, Tok Ku Melaka telah belajar kepada ayahnya sendiri, Saiyid Muhammad al-Aidrus, yang diriwayatkan juga seorang ulama. Tok Ku Melaka ialah seorang yang sangat rajin dan teliti mencari ilmu pengetahuan Islam dan beliau telah mengembara mencari ilmu. Apatah lagi pada zamannya memang banyak keturunan Saiyid sebagai pendatang sama ada merupakan pedagang mahupun sebagai seorang ulama penyebar Islam



Syeikhkul Bukit Bayas ( Tokku Bukit Bayas )

Nama Sebenar Sheikh Abdul Qadir Abdur Rahim Al-Fathani. Ulama’ yang paling berpengaruh di Terengganu.

Syeikh Abdul Qadir mulai mengorak langkah di mana sahaja beliau pergi dalam negeri Terengganu beliau memperkenalkan ajaran Islam menurut Mazhab Syafie dan iktikad Ahlus Sunnah wal Jamaah. Beliau merancang membuka sebuah institusi semacam pondok di Patani, kerana pada zaman itu pengajian pondok memang di Patani yang paling terkenal di rantau ini. Sama ada di Terengganu mahupun di tempat-tempat lainnya, pengajian pondok tidaklah sekukuh seperti di Patani sendiri. Apabila rancangannya itu telah mantap, beliau pulang ke Patani dengan tujuan mendapatkan rancangan kerja yang lebih mantap atau konteks kerjasama dalam dunia pendidikan pondok dengan beberapa orang Tok Guru mahu pun ahli keluarga beliau yang menjadi ulama yang memimpin pondok di Patani. Setelah sampai ke Patani, niat beliau tergendala kerana pada masa itu terjadi suatu peperangan besar antara Kedah-Patani terhadap pencerobohan bangsa Siam. Peperangan besar yang melibatkan beberapa orang tokoh ulama itu diikuti pula oleh Syeikh Abdul Qadir sendiri.


Di antara murid Syeikh Abdul Qadir Bukit Bayas yang sangat terkenal sebagai tokoh atau pun ulama ialah Baginda Sultan Umar (Sultan Terengganu), Wan Abdullah bin Muhammad Amin al-Fathani (Syeikh Duyung), Tok Ku Tuan Besar, Tuan Guru Mahmud bin Muhammad Yusuf Kemaman (penyalin pelbagai manuskrip) dan ramai lagi.

Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim al-Fathani Bukit Bayas, Terengganu wafat dalam tahun 1864 M di Kampung Paya Bunga, Terengganu. Riwayat lain menyebut beliau wafat di Bukit Bayas, Terengganu.




TATAPAN SEJARAH




Tok Kenali..



Tok Janggut..


Tok Jjanggut Hj Hassan Bin Panglima Mat Munas. Beliau menentang mengenakan cukai oleh penjajah Inggeris.

Pada 29 April 1945, pentadbiran Jeram, Pasir Puteh, Kelantan telah diambil alih oleh Encik Latiff, menggantikan Engku Besar. Keadaan bertambah buruk apabila Encik Latiff, pegawai pentadbiran British yang berasal daripada luar Kelantan menjalankan tugasnya dengan tegas, khususnya dalam hal pengutipan cukai.

Engku Besar membuat perundingan dengan Tok Janggut, Haji Said, Che Sahak dan Penghulu Adam, dan mereka bersama-sama memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan pihak British. Mereka mendapat sokongan sebilangan besar rakyat, dan ini membimbangkan Encik Latiff. Pada 29 April 1915, Encik Latiff mengarahkan sepasukan polis yang diketuai oleh Sarjan Sulaiman (Che Wan) bertolak ke Kampung Tok Akib untuk bertemu dengan Tok Janggut Dalam satu perkelahian yang berlaku, Sarjan Sulaiman telah terbunuh.

Tok Janggut kemudian menghimpunkan pengikut-pengikutnya menuju ke Pasir Puteh. Encik Latiff melarikan diri ke Kota Bharu. Bantuan daripada Singapura dan Negeri Melayu Bersekutu dikejarkan ke Pasir Puteh pada 6 Mei 1915. Satu pertempuran berlaku pada 25 Mei 1915 di Kampung Merbuk dan Kampung Pupuh.

Kebangkitan Tok Janggut telah menyebabkan Sultan Kelantan berasa terancam dan menganggap Tok Janggut sebagai penderhaka. Dalam pertempuran di Kampung Pupuh, Tok Janggut dibunuh. Mayat Tok Janggut dibawa ke Kota Bharu dalam kereta lembu yang menelan masa sehari. Mayat beliau digantung beberapa hari di depan istana di Padang Bank (Padang Merdeka) sebelum dikebumikan di Pasir Pekan.